KEGAGALAN dua perniagaan restorannya sebelum ini tidak menjadi pengalang buat pelakon, Zara Zya membuka restoran baharu, ZaraZyaCooks di Setia Alam sejak sebulan lalu.
Menurut Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, minat yang mendalam terhadap dunia kulinari dan sambutan hangat terhadap tempahan masakannya sepanjang tempoh kawalan pergerakan baru-baru ini mendorongnya untuk mengambil langkah berani itu.
ARTIKEL MENARIK: Perkahwinan tu bukan macam main masak masak. Bengang sebab warganet samakan Pavithra dengan Bella Astillah. Mengejutkan ini respon Bella Astillah.
Apa yang berbeza kali ini, personaliti berusia 35 tahun itu mempertaruhkan sendiri namanya sebagai nama restoran. “Sebelum ini saya memulakan perniagaan nasi lemak di medan selera sebuah pusat beli belah di Taman Melawati tiga tahun lepas.
“Bagaimanapun disebabkan sibuk dengan penggambaran, kakak saya yang bantu untuk menyelia perniagaan tersebut. Tetapi disebabkan dia terpaksa berpindah, jadi tak ada orang yang boleh pantau dan saya tutup. Saya rugi kira-kira RM80,000 ketika itu. “Kemudian saya buka pula restoran Suka Makan di Mutiara Damansara. Banyak masalah timbul selepas buka restoran tersebut termasuk tiada keserasian dengan rakan kongsi dan lokasi tak strategik.
“Pernah juga chef lari dan saya tak ada pilihan melainkan tutup operasi. Saya pernah bayar sewa tiga bulan tapi tak beroperasi dan akhirnya saya tutup juga restoran terbabit. “Cinta saya terhadap dunia masakan dan permintaan tinggi ketika tempoh kawalan pergerakan baru-baru ini menjadi penguat semangat untuk saya membuka restoran ZaraZyaCooks.
“Walaupun takut-takut juga nak menggunakan nama sendiri, tapi saya harap ia akan membawa tuah dan orang ramai juga tetap akan datang ke sini biarpun ada yang rasa jauh,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan restoran miliknya, ZaraZyaCooks di Jalan Setia Dagang, Setia Alam, Selangor baru-baru ini.
Tambah pelakon Monalisa itu, kebanyakan hidangan istimewa yang dijual telah disediakan sendiri olehnya dengan bantuan pasukan berpengalaman. Katanya, dia juga telah memasang strategi agar sejarah lalu tidak berulang kembali. “Bohonglah kalau saya kata saya masak semua. Tapi untuk ikan bakr, ayam bakr saya yang buat perapan itu sendiri dan tukang masak tolong sediakan sahaja.
“Macam menu lain, saya dah ajar mereka step by step dan selepas puas hati dengan kualiti dan rasa, barulah saya lepaskan kepada mereka. “Alhamdulillah selepas sebulan beroperasi, sambutan sangat menggalakkan terutamanya hari hujung minggu. “Insya-ALLAH saya juga akan berada lebih kerap di restoran sekiranya adalah kelapangan dan tidak terlibat dengan penggambaran,” jelasnya.
Ditanya mengenai dkwaan ditaja seseorang untuk membuka restoran ketiga ini, Zara pantas menafikan perkara itu. “Tiada istilah ditaja kerana ini semua adalah usaha saya sendiri. Tapi saya tak nafikan kekasih adalah rakan perniagaan saya. “Malah dia juga banyak memberi sokongan dan nasihat kepada saya sebelum saya kembali membuka restoran ini,” katanya.
ZaraZyaCooks yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa antaranya Sup Belut, Nasi Goreng Kambing Bkar, Patin Tempoyak, Siakap Stim Halia beroperasi setiap hari bemula jam 12.30 tengah hari sehingga 11.30 malam. Bangunan restoran dua setengah tingkat itu turut menyediakan ruang untuk majlis khas, ZaraZya Sky Lounge yang dibuka dari jam 6 petang hingga 1 pagi setiap hari.
Hati kembali dimiliki
Sementara itu, diusik mengenai buah hati terbaharunya itu, Zara berkata, hatinya sudah kembali dimiliki sejak enam bulan lalu. Memilih untuk merahsiakan identiti jejaka berkenaan, Zara menyifatkan kekasihnya itu merupakan seorang yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan
“Sekarang memang saya tengah mengenali seseorang tetapi untuk saya ceritakan pasal kahwin atau hubungan kami buat setakat ini, biarlah rahsia dahulu. Sekarang saya nak fokus pada perniagaan terlebih dahulu. “Orang dah tahu yang saya dah berpunya, cukuplah itu pada saya. Saya tak nak jadi macam dulu-dulu, jadi lebih baik saya rahsiakan hubungan baharu ini. Bukan serik tapi sekarang ini saya rasa lebih selesa begini. “Sejujurnya, sekarang ini bayangan nak kahwin pun belum ada, kalau dah sedia nak kahwin kami akan terus buat, bukan nak sembunyi cuma itulah sekarang tak berani lagi nak cakap,” katanya-sinarplus