PETALING JAYA: Beberapa rakan menemui penulis, pelakon teater dan filem terkenal, Jit Murad, tidak bernyawa di rumahnya di Bukit Damansara pada 2.15 petang tadi.
Kawan baiknya, Fizar Harun mengesahkan pemergian Jit atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan, 62, kepada BH Online.
ARTIKEL MENARIK:Ebby Yus dapat bantuan bina rumah baru. Ini jumlah bantuan yang dia dapat
Fizar berkata, beliau dan beberapa rakan bergegas ke kondominium Jit untuk memeriksa keadaannya, selepas panggilan mereka tidak dijawab.
“Namun, kami menemui arwah sudah tidak bernyawa.
“Sehingga kini, punca kematian belum dikenal pasti. Saya dan teman-teman masih menunggu keputusan bedah siasat pihak hospital untuk mengetahuinya,” katanya yang sudah beberapa tahun tidak menemui Jit.
Beliau berkata, lokasi pengebumian Allahyarham mungkin dimaklumkan keluarga esok.
Jit yang juga anak bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Allahyarham Murad Mohamed Noor, mula bergiat aktif dalam filem, televisyen dan teater pada 1987.
Beliau merupakan abang kepada penerbit filem, Na’a Murad.
Jit yang dilahirkan di Kuala Lumpur menamatkan pengajian dalam bidang Sosiologi (Pengajian Bandar) dan memiliki Ijazah Sarjana dalam Seni Sejarah.
Sepanjang kariernya, Jit disegani sebagai penulis, pelakon dan penerbit teater berdedikasi serta dinamik.
Beliau turut dikenali sebagai penulis prolifik di Asia Tenggara, selepas berjaya menghasilkan beberapa naskhah kontemporari yang pernah meraih beberapa anugerah, termasuk Anugerah Boh Cameronian.
Antara produksi teater popular yang ditulis serta dibintangi Jit termasuk “Spilt Gravy On Rice” (1995), “The Storyteller” (1996) dan “Gold Rain and Hailstones” (2002).
Allahyarham juga pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam industri kreatif Malaysia, termasuk Krishen Jit, Zahim Albakri dan Jo Kukathas.
Jit pernah membintangi filem “Selubung”, “Mimpi Moon”, “Talentime” dan “1957: Hati Malaya”.
Kredit -