SIKAP ramah dan mudah mesra pengacara Roslan Shah membawa padah apabila dia ditahan pihak imigresen Arab Saudi ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Menceritakan kejadian itu, Roslan, 49, berkata, insiden itu berpunca selepas dia rancak berbual dengan salah seorang staf wanita di kaunter daftar masuk lapangan terbang itu sebelum ditahan selama 30 minit oleh seorang pegawai untuk disoal siasat.
ARTIKEL MENARIK:Lepas Kant0i Cur4ng & Pukul Isteri, Ini Yang Berlaku Kepada Rizki Billar
“Saya inikan peramah orangnya… apabila di kaunter tersebut saya hanya berbual dengan staf bertugas dan minta dia mengikuti Instagram saya.
“Tak sangka perbuatan tersebut dapat dilihat menerusi CCTV sebelum tiba-tiba datang seorang pegawai dan terus bawa saya ke sebuah bilik untuk disoal siasat.
“Pegawai itu tanya kenapa saya menunjukkan telefon kepada kakitangan bertugas itu… pasport saya juga diperiksa. Rasanya dalam 30 minit juga saya ditahan,” katanya.
Terdahulu, Roslan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu selepas 12 hari berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah.
Roslan turut memberitahu ketika disapa pegawai berkenaan untuk ditahan, dia mengakui berasa cemas kerana tidak tahu apa akan berlaku selain bimbang akan terlepas penerbangan pulang ke Malaysia.
“Ketika itu rasa cemas Allah sahaja yang tahu. Saya sentiasa berdoa dan berselawat supaya urusan dipermudahkan dan tidak terlepas penerbangan.
“Apa yang berlaku menjadi satu pengajaran buat saya agar lebih berhati-hati,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman kali pertama di Makkah, Roslan berkata di sebalik pelbagai ujian dihadapi sebelum berangkat ke Tanah Suci, jiwanya sentiasa berasa tenang tatkala berada dalam Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah.
Pengacara berasal dari Singapura ini juga bersyukur doa untuk bertemu Allahyarham ibunya dalam mimpi dimakbulkan Allah meskipun hanya seketika.
“Sejak awal menjejakkan kaki di sana, saya sudah berniat untuk memberi fokus kepada ibadah. Jadi memang banyak habiskan masa di masjid. Hati saya sangat tenang sepanjang berada di Tanah Suci.
“Salah satu doa saya di hadapan Kaabah adalah ingin bertemu arwah ibu dalam mimpi. Syukur Alhamdulillah Allah makbulkan. Saya lihat ibu tersenyum sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Roslan berkata, perjalanan umrah ini juga banyak mengajarnya erti kesabaran dan tidak mudah melenting apabila berdepan pelbagai kecaman netizen terhadapnya.
Sepanjang berada di sana juga, Roslan banyak memanjatkan doa untuk kesejahteraan diri dan rakan-rakan terdekat.
“Sekarang ini kalau ada yang bercakap buruk, saya biarkan sahaja. Saya lebih tahu erti sabar dan tenang.
“Ketika di sana, saya juga sentiasa berdoa untuk rakan-rakan supaya sentiasa dimurahkan rezeki. Insya Allah itu antara salah satu perkara yang saya buat untuk balas jaas baik semua orang,” ujarnya.
Sumber : mStar
Kredit -Bulletin 50 Times.