Gaji RM4,000 tarik pelajar pilih bidang kejuruteraan

Business

Gaji RM4,000 tarik pelajar pilih bidang kejuruteraan

SERI ISKANDAR – Gaji bulanan seorang jurutera bermula daripada RM4,000 sebulan dilihat sebagai angka wajar dalam industri bagi menarik minat golongan muda memilih bidang pengajian kejuruteraan.

Gaji RM4,000 tarik pelajar pilih bidang kejuruteraan



Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud meminta pemain industri atau syarikat swasta melihat perkara tersebut terutama bagi organisasi yang telah mengaut keuntungan besar.

ARTIKEL MENARIK:Pelajar tingkatan 5 maut motosikal ‘bergulung’ bawah SUV


“Kita hendak tingkatkan sehingga RM4,000 minimum supaya kita dapat menarik minat pelajar kita untuk menceburi bidang-bidang yang berkaitan dengan kejuruteraan.

“Kita minta supaya pemain industri dan syarikat swasta dapat melihat perkara ini dan membantu kerajaan supaya memastikan kadar gaji kita dapat tingkatkan. Sudah terlalu lama kadar gaji ini terhenti sekitar RM2,000 sahaja,” katanya selepas hadir untuk merasmikan Pameran Teknologi, Pendidikan dan Kerjaya (TEC) 2024 anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Kadar gaji yang rendah menjadi keluhan ramai dalam pelbagai platform media sosial, sekali gus menyebabkan belia tidak melihat potensi bidang tersebut selain memilih pekerjaan tidak berkaitan meskipun berlatarbelakangkan pendidikan kejuruteraan.




Mustapha menjelaskan, langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam juga merupakan satu daripada strategi bagi mendorong pihak swasta membuat tindakan sama terhadap pekerja masing-masing.

“Ini sebenarnya hasrat Perdana Menteri dan Kerajaan Madani, supaya keseimbangan itu berlaku. Kalau tidak kita akan kehilangan bakat-bakat ke luar negara seperti yang kita hadapi sebelum ini,” katanya yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia. – KOSMO! ONLINE


Kredit -Kosmo Digital.


-----------------------------------------------------------------