‘TOLONG doakan kami’ – Demikian ungkap Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar memohon maaf dan mahu menyelesaikan kemelut keluarga yang berlaku selepas pernikahannya baru-baru ini.
SinarPlus sebelum ini berkongsi perkahwinan Azwan dan pasangannya, Evanoza Zakaria. Azwan dalam penstriman langsung di Facebook terdahulu memaklumkan diijab kabul pada 14 Oktober lalu manakala majlisnya akan diadakan pada bulan Disember nanti.
ARTIKEL MENARIK:Bertemu buat pertama kali selepas kes keganasan rumah tangga, Lesti Kejora dan Rizky Billar saling berpelukan
Pun begitu, status Facebook kakaknya, Fauziyah Omar menimbulkan pertanyaan dalam kalangan warga maya.
Berikut perkongsian Fauziyah yang dimuat naik tidak lama selepas berita ijab kabul Azwan dikongsikan media.
“Hantaran ini hanya untuk pemakluman, bukan meraih simpati atau mencari publisiti. Kepada sesiapa yang bertanya, ya betul insan ini telah bertunang dan berkahwin dengan pilihan hatinya tanpa pengetahuan kami. Tanpa pengetahuan emak ayahnya yg masih ada di dunia ini.
“Kepada yang kata ‘alahhh maafkanlah dia, saya minta maaf kepada kamu kerana tidak dapat menunaikan permintaan itu. Berdoalah semoga benda yang sama tidak berlaku kepada kamu.
“Kata pengantin lelaki, beliau perlu menjaga nama baik. Mungkin nama dan rupa kami buruk dan busuk. Emak ayah saya dan anak-anak buah tidak layak duduk sama tinggi dengan mereka. Hanya beban yang akan menyusahkan dan penghalang kepada kebahagiaan mereka,” luah Fauziyah.
Dalam pada itu, wanita itu memohon agar berhenti bertanya tentang Azwan.
“Saya mohon kepada semua,berhentilah bercakap atau bertanya apa-apa mengenainya kepada emak dan ayah saya. Cukuplah dengan apa yang sudah emak ayah tanggung kesan daripada perbuatan mereka. Cukuplah airmata yg telah jatuh ke pipi emak ayah yang sudah tua. Berhenti kaitkan kami dengan mereka. Jangan tambah derita yang ada.
“Beri peluang kepada emak ayah saya bahagia pada usia senja mereka.
“Kepada pengantin lelaki, selamat pengantin baru dan terima kasih kerana abaikan mak ayah dan keluarga. Hanya jauhari mengenal manikam,” titip Fauziyah.
Hantaran itu menerima lebih 1,000 reaksi daripada warga maya yang rata-rata berharap krisis keluarga Wira Banjir itu diselesaikan dengan baik. Hantara berkenaan bagaimanapun didapati diturunkan beberapa jam selepas dimuat naik.
Menerusi hantaran lain, Fauziyah menegaskan tujuan ia dimuat naik adalah untuk membersihkan nama ibu bapanya yang tercalar di samping mengelakkan kacau ganggu ketenteraman. Berikut perkongsian beliau:
“Dalam posting itu saya mohon kepada semua tolong jangan tanya dan ganggu emak ayah saya. Itu sahaja. Salahkah saya sebagai seorang anak menjalankan tanggungjawab menjaga hati dan perasaan orabg tua? Permintaan seorang anak itu dikira membuka aib? Bagaimana dengan aib emak ayah saya?
“Emak ayah saya diserang bertalu-talu daripada pihak keluarga, kenalan dan orang yang tak dikenali sejak berita pernikahan mereka (diketahui umum). Orang tanya kenapa tidak jemput mereka, kenapa hendak rahsia, tidak kurang juga ada yang sudah memulaukan emak ayah saya kerana katanya sudah kaya lupa saudara,” luahnya.
Fauziyah atau dikenali sebagai Gee oleh kenalan rapat menjelaskan tersentuh dengan keadaan menimpa ibu bapa dan cuba melindungi mereka sekali gus menyangkal dakwaan membuka aib.
“Hati anak mana yang sanggup melihat keadaan emak ayahnya yang jatuh terduduk selepas mengetahui berita itu? Hati anak mana yang kuat? Emak ayah saya hinggakan perlu mendapatkan rawatan pakar. Ada yang bertanya? Netizen, semoga kamu dan keluarga kamu dijauhkan daripada dugaan yang begini.
“Kalau saya hendak membuka aib bukan begini. Saya jauh dari keluarga atas sebab apa? Hanya orang yang kenal saya dan keluarga tahu apa kami lalui. Tidak semua benda perlu diviralkan dan dibuat ‘live’ untuk orang tahu. Tetapi disebabkan isu ini bermula dengan kuasa viral, kuasa publisiti, maka saya gunakan saluran yang sama untuk membersihkan nama emak dan ayah saya,” titip wanita itu.
Azwan yang tampil menerusi penstriman langsung di Facebook baru-baru ini menjelaskan tentang kekecohan keluarga.
Katanya, beliau menolak dakwaan bahawa ibu bapanya tidak dimaklumkan mengenai majlis perkahwinan itu adalah tidak benar kerana telah beberapa kali memaklumkan perkara berkenaan.
“Saya sudah beritahu hendak berkahwin kepada ayah sebanyak tiga kali dan emak lima kali.
“Cuma mereka tidak bersetuju sangat dengan calon dipilih tetapi mungkin silap saya kerana teruskan untuk berkahwin dengan pilihan saya, itu memang adalah kesilapan saya sendiri,” katanya.
Ujar Azwan, beliau turut menghantar beberapa keping gambar serta klip video pernikahan melalui aplikasi WhatsApp kepada ibunya.
Jelasnya, majlis perkahwinan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Disember tahun ini terpaksa dipercepatkan selepas mengambil kira faktor cuaca dan misi-misi bantuan yang perlu diberi kepada mangsa banjir.
“Ke Baling, Kedah hari tu pun saya pergi awal manakala isteri datang kemudian, jadi dekat sana sudah jadi satu isu. Saya tidak mahu menimbulkan fitnah dan salah faham orang.
“Jadi kami ambil keputusan untuk kahwin awal dan majlis akan dibuat pada penghujung tahun, bulan Disember,” ujarnya.
Mengakhiri sesi ‘live’ Azwan memohon doa daripada warga maya agar masalah berkenaan akan diselesaikan secara tertutup.
Pada Jumaat, Azwan dilapor selamat diijabkabulkan dengan tunangnya, Evanoza Zakaria di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Ayer Keroh, Melaka.
Berita gembira itu telah dikongsikan Azwan bersama orang ramai menerusi penstriman secara langsung pada malam Khamis namun disimpan sebagai tetapan peribadi.
Azwan berkata, tiada niat untuk menyembunyikan perkara baik itu namun memandangkan dia dan isteri mempunyai niat yang sama untuk melakukan kebajikan dia mengambil keputusan memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan fitnah.
Semoga pertelingkahan antara keluarga ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik.
Azwan sebelum ini tular di pelbagai platform media sosial selepas memandu kereta Perodua Viva membawa bot getah ke Selangor dari Melaka demi membantu mangsa banjir dengan berbekalkan RM50 pada Disember tahun lalu.
Atas jasa baktinya, pemuda itu menerima kurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Kredit -Sinar Plus.