PERSEMBAHAN bertenaga yang diberikan di pentas akhir oleh Shila Amzah di pentas akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada malam Ahad mendapat pujian peminat meskipun gagal meraih gelaran juara.
Bagaimanapun apa yang ramai tidak tahu, Shila atau Nur Shahila Amir Hamzah, 32, sebenarnya berdepan masalah kesihatan termasuk hilang suara selain sukar untuk mendengar akibat jangkitan kuman.
ARTIKEL MENARIK:Isu dicekik Fezrul Khan, Iqram Dinzly minta Reen Rahim duduk rumah belajar masak
Mengakui sedikit kecewa dengan keadaan kesihatannya namun Shila akur berdepan dengan ujian tersebut.
“Saya mula rasa sakit sejak Khamis tetapi ketika soundcheck pada hari berikutnya keadaan saya okay sahaja. Tetapi ketika datang untuk latihan pada Sabtu malam saya sudah rasa tak sedap badan.
“Ada rasa kecewa dengan diri sendiri sebab perkara ini terjadi di pentas akhir. Dari segi vokal saya boleh buat lebih baik lagi namun semua itu berbalik kepada rezeki. Itulah yang terbaik boleh saya lakukan,” katanya.
Meskipun berdepan dengan situasi begitu, Shila berkata dia tetap bersemangat dan bersyukur mendapat tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 selain pakej percutian ke Seoul, Korea Selatan berserta trofi.
Pada peringkat akhir tersebut, Shila mempertaruhkan lagu Tak Ada Logika dan Secret Love Song pada pusingan pertama pertandingan tersebut.
Manakala menerusi pusingan battle, Shila digandingkan bersama Tomok menyanyikan lagu Too Legit To Quit dan Parti Sampai Pagi.
Bercakap tentang persembahan pada malam tersebut, Shila mengakui hampir pitam dek kerana terlalu menekan suara ketika menyanyi.
“Sebelum naik pentas untuk pusingan battle saya dan minta maaf pada Tomok tetapi dia ingatkan saya bahawa ini adalah pentas akhir dan perlu push diri sebaik mungkin.
“Saya hampir pitam selepas membuat persembahan… sebelah telinga juga tak boleh dengar dan muka bengkak akibat ada jangkitan.
“Di belakang pentas memang suara tak keluar cuma apabila menyanyi saya cuba gunakan teknik yang betul,” jelasnya.
Shila bagaimanapun tidak melihat membuat persembahan secara berterusan sebagai punca kepada masalah dihadapinya.
Ini termasuk tampil di pentas separuh akhir Muzik-Muzik 37 (SFMM37) pada Sabtu dan Shila berjaya menyanyikan lagu Khilaf Asmara dan Bahagiakan Dia duet bersama Liza Hanim dengan baik.
“Saya tak rasa terlalu banyak menyanyi menjadi punca sebab masa di SFMM37, suara saya tiada masalah dan syukur boleh membuat persembahan dengan baik.Sumber:mStar