BEIJING – China kembali ‘menderita’ apabila melalui gelombang kejam Covid-19 akibat tindakan negara itu melonggarkan undang-undang perintah berkurung yang ketat, lapor MailOnline semalam.
Kelongaran tersebut dibuat selepas tercetus demonstrasi besar-besaran terhadap pemerintahan Presidennya, Xi Jinping.
ARTIKEL MENARIK:Wanita ditinggal 3 hari sebelum nikah kerana minta mas kahwin geran rumah
Akibatnya ketika ini hospital-hospital dibanjiri ramai pesakit, klinik-klinik mempunyai barisan panjang orang ramai dan pertambahan bilangan doktor serta jururawat yang turut jatuh sakit, menurut catatan di rangkaian media sosial di negara itu.
Secara rasmi, jumlah kes Covid-19 sudah menurun, tetapi hanya selepas Suruhanjaya Kesihatan China menyatakan bahahwa ia tidak lagi melaporkan jangkitan baharu asimptomatik Covid-19.
Sebelum ini, ia menyebabkan kenaikan tinggi kes harian virus korona itu, manakala Ujian Tindak balas berantai polimeras (PCR) juga sudah dikurangkan.
Pakar-pakar juga memberi amaran bahawa China akan dihantui oleh gelombang jangkitan Covid-19 kerana melonggarkan sekatan perintah berkurung.
Ini bermakna tiada imuniti semula jadi telah dibina, manakala vaksin dari negara tersebut dipercayai kurang berkesan berbanding dengan Barat.
Penganalisis yang bercakap dengan MailOnline berkata, risiko sistem kesihatan China yang terbeban adalah besar apabila kematian akan mula meningkat kerana orang ramai tidak dapat mengakses penjagaan kesihatan.
“Hospital kami penuh dengan pesakit. Terdapat 700 (hingga) 800 orang yang demam datang setiap hari. Kami kehabisan stok ubat untuk demam dan selesema, kini menunggu penghantaran daripada pembekal kami,” kata seorang doktor yang dikenali sebagai Li di sebuah hospital di Sichuan.