Hidup tersepit, beli baju sekolah bayar tiga kali

Business

Hidup tersepit, beli baju sekolah bayar tiga kali

GEORGE TOWN – Terdapat segelintir ibu bapa di negeri ini didapati tidak mampu membeli pakaian sekolah anak-anak mereka secara tunai sebaliknya membayarnya secara ansuran sebanyak tiga kali menerusi aplikasi dalam talian.

Hidup tersepit, beli baju sekolah bayar tiga kali



Malah, akibat peningkatan kos sara hidup ketika ini, ibu bapa hanya mampu menyediakan sepasang uniform sekolah untuk anak-anak mereka.


ARTIKEL MENARIK:Tertembak rakan, anggota polis dijel dua tahun, denda RM10,000


Seorang suri rumah, Nor Kamalasari Mohd. Ali, 46, berkata, persiapan sekolah dua anak yang berusia 7 dan 14 tahun dilakukan secara ala kadar selain mengutamakan pembelian buku sekolah terlebih dahulu.

Menurutnya, beban kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa mereka memilih menggunakan pembayaran secara ansuran sebanyak tiga kali menggunakan satu aplikasi yang fleksibel dalam talian.

“Suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji bulanan kira-kira RM2,000. Hendak beli barangan sekolah yang serba lengkap untuk dua anak memang tak mampu memandangkan kos beli buku sekolah sudah mencecah RM200.

“Itu yang kami pilih bayaran secara ansuran termasuk membeli barang keperluan rumah. Hendak bayar secara tunai semua barangan yang dibeli memang besar jumlahnya. Lebih baik bayar secara sikit-sikit, boleh kami berjimat,” katanya.




Tinjauan Kosmo! di beberapa pusat jualan pakaian sekolah dan pasar raya besar di sini semalam mendapati, ramai ibu bapa mula membuat persiapan saat akhir bagi sesi persekolahan 2023/2024 bermula Isnin ini.

Sementara itu, seorang ibu tiga anak, Aina Mardiah Hasan, 38, memberitahu, dia hanya membeli pakaian sekolah untuk anak bongsunya sahaja yang akan memasuki tahun satu.

“Cuma beli pakaian serba sepasang untuk anak perem­puan, manakala dua abangnya hanya memakai semula pakaian sekolah lama yang masih muat.

“Beg sekolah pun pakai yang lama, yang diberi guru semasa di tadika. Kali ini, serba-serbi kelengkapan sekolah naik harga, daripada set alat tulis sehinggalah kepada pakaian dan beg,” keluhnya.

Kredit -Kosmo Digital.

-----------------------------------------------------------------